fbpx

JKDM tumpaskan cubaan seludup dadah dalam perabot, jubah mandi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Halim Ramli (tengah) menunjukkan 'table end table' yang disorokkan bahan disyaki dadah berbahaya jenis ketamin yang dirampas ketika sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Peiabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai, Seremban hari ini.-ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah bernilai hampir RM7 juta menggunakan taktik menyorokkan dadah dalam perabot dan jubah mandi.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) yang menjalankan tugas-tugas Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Abdul Halim Ramli berkata, pada 13 Oktober lalu kira-kira pukul 3.30 petang, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah dagangan yang dijadualkan untuk dieksport ke sebuah negara Asia Barat menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pemeriksaan lanjut mendapati ia adalah dua buah palet yang mengandungi tiga buah perabot yang dibalut dengan rapi bersama tiga kotak. Dagangan diikrarkan sebagai ‘table end table’ dengan berat 366 kilogram (kg). Setelah balutan ke atas perabot dibuka, didapati ia adalah perabot berbentuk meja di mana rangka dua dari daripadanya diperbuat daripada besi dan satu dari kayu.

“Anggota serbuan telah membuka balutan salah satu perabot tersebut dan mendapati ia mencurigakan. Hasil pemeriksaan lanjut telah mengumpil bahagian atas meja mendapati wujud bahan berwarna putih kekuningan dibawah jubin meja.

“Anggota serbuan kemudian bertindak memecahkan bahagian sisi kanan meja dan mendapati wujud kristal jernih. Ujian awal ke atas kedua-dua bahan ini mendapati ia mengandungi bahan disyaki dadah berbahaya jenis Ketamin dengan anggaran berat kasar keseluruhan berjumlah 124.75 (kg) dan anggaran harga pasaran RM6.8 juta.,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai, di sini hari ini.

Menurut Abdul Halim, siasatan awal mendapati barang dagangan telah dibawa daripada sebuah lokasi di kawasan perindustrian di Selangor ke Johor Bahru dan kemudiannya dibawa ke gudang ejen penghantaran kargo udara di KLIA.

“Dipercayai dagangan ini dikendalikan oleh sindiket antarabangsa dengan penglibatan warga tempatan. Dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 dan 40 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek ditahan. Modus operandi digunakan dalam kes ini dengan menyembunyikan bahan disyaki dadah berbahaya di ruangan rahsia pada perabot dan yang digerakkan daripada satu lokasi ke satu lokasi sebelum dihantar untuk destinasi ke luar negara bertujuan mengelirukan pihak berkuasa,” katanya lagi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI