KUALA SELANGOR – Tempoh 14 hari berkempen disifatkan sebagai mencukupi kepada mana-mana parti untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini pun tempoh masa berkempen adalah melibatkan jumlah hari yang sama dan ada kurang daripada 14 hari.
Justeru katanya, parti politik perlu merancang perancangan masing-masing supaya 14 hari berkempen itu adalah cukup masa kepada mereka.
“Kalau terlampau lama juga orang akan komplen juga sebab too long dan penat kerja serta macam-macam.
“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sudah menentukan, jadi kita akur dan bekerja berdasarkan jumlah yang disediakan untuk berkempen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh 19 November depan sebagai hari pengundian.
Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala hari mengundi awal pula pada 15 November.
Ketika ditanya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal di Parlimen Pekan, Ismail Sabri menegaskan SPR akan menentukan sama ada Najib akan bertanding atau tidak.
Mengulas mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih terbuka bekerjasama dengan UMNO, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sebarang kerjasama mesti dibawa dan ditentukan oleh Majlis Tertinggi UMNO.
“Apa yang penting adalah fokus kepada piilihan raya dan memenanginya sebelum.bercakap soal hendak gabung atau tidak,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE