AMPANG JAYA – Hajat Isteri berjumpa suami meneruskan urusan penceraian dibalas dengan tendangan di bahagian paha dan pinggang sehingga kecederaan tisu dalam kejadian di Taman Uda Ampang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada pukul 10.30 pagi semalam, wanita berusia 30 tahun itu ke rumah ibu mertuanya untuk berjumpa suspek dan mengajaknya ke mahkamah untuk urusan penceraian.
Katanya, tindakan guru tadika itu tidak disenangi suspek lalu naik berang dan bertindak menendang paha dan pinggang mangsa sebanyak dua kali.
“Akibat tercedera, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan disahkan mengalami kecederaan di tisu.
”Selepas menerima laporan, sepasukan pegawai polis membuat tangkapan terhadap suami mangsa yang berusia 29 tahun sekitar pukul 6.20 petang, pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Farouk, semakan mendapati suspek bekerja sebagai jurujual itu telah berkahwin selama dua tahun dan memiliki satu cahaya lelaki mata berusia lapan bulan.
Katanya, hari ini, suspek akan dibawa ke mahkamah di sini bagi permohonan reman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atau 18A Akta Keganasan Rumahtangga kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.