PUTRAJAYA- Landskap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan berbeza kali ini berikutan hanya 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, PRU15 diadakan
bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat serta 42 DUN Pahang, Perlis (15) dan Perak (59).
“Pada masa yang sama, PRK DUN N66 Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut,” jelasnya dalam satu sidang akhbar khas di sini tadi.
Sebelum ini, Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor telah melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus membolehkan terkecuali daripada membubarkan DUN pada PRU15.
Bagaimanapun, negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) tetap bertegas untuk tidak membubarkan DUN kali ini seterusnya menyebabkan tiada pemilihan kerusi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pada masa sama, Pas juga kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN melibatkan Terengganu, Kelantan, dan Kedah. – KOSMO! ONLINE