PETALING JAYA – Baru sahaja dibuka enam hari lepas, Lebuh Raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) merekodkan kemalangan pertama yang meragut nyawa seorang pemandu motosikal, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan diterima sekitar 12.05 pagi itu melibatkan pemandu motosikal jenis SYM VF3i.
Katanya, insiden berlaku apabila mangsa terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan terjatuh di atas jalan raya.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di DASH Kilometer 15.7 dari Penchala Hala ke Denai Alam.
“Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun telah disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, siasatan akan diteruskan dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan untuk mengenalpasti punca dan sebab kematian mangsa juga masih dijalankan.
Tambah Fakhrudin, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi bantu siasatan. KOSMO! ONLINE.