PETALING JAYA – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) memaklumkan kadar tol di empat buah kendaliannya turun antara lapan hingga 15 peratus bermula tengah malam ini.
Menurut Prolintas, pengguna boleh menikmatinya kadar baharu itu bermula pukul 12.01 tengah malam ini dan ia melibatkan kenderaan kelas satu, kelas empat dan kelas lima.
Katanya, kenderaan kelas satu melibatkan kenderaan yang mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas, manakala kelas empat (teksi) dan kelas lima (bas).
“Bagi kenderaan kelas dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan kelas tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas), kadar tol adalah tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Prolintas berkata, empat lebuh raya terlibat ialah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
Sebagai contoh katanya, bagi pengguna kenderaan kelas satu yang menggunakan Akleh, kadar tol sebelum ini adalah RM2.50, manakala kadar baharu bermula esok adalah RM2.13.
“Pengguna akan menikmati pengurangan sebanyak 15 peratus untuk lebuh raya ini.
“Bagi pengguna kelas sama yang menggunakan Lebuh Raya GCE mereka akan menikmati pengurangan sebanyak lapan peratus iaitu kadar lama RM1.90, manakala kadar baharu RM1.75,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Prolintas berkata, pengurangan kadar tol ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu.
Katanya, penurunan kadar tol ini menandakan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup. – KOSMO! ONLINE