BANDAR BAHARU – Barisan Nasional (BN) menegaskan tidak akan berunding dengan Pas sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya hanya memilih ‘kawan’ yang teguh pendirian serta kekal bersama tidak kira dalam keadaan susah mahupun senang.
“Pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain, esok cakap lain. Dirinya sahaja tak salah, dia kata kita ini durian mentah, belum masak sangat.
“Ingat pak lebai durian mentah ini jangan cuba dijolok, tunggu ada durian runtuh walaupun tidak cukup masak. Kalau tak pakai serban lebai itu, takut-takut kepala pecah sebab durian jatuh atas kepala. Nak cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar pak lebai,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di sini hari ini.
Kata beliau, Pas seharusnya berpendirian teguh dalam membuat keputusan untuk menentukan kerjasama sebelum PRU15.
“Beritahu pula tunggu lepas pilihan raya kita runding, PM (Perdana Menteri) jawab dengan tepat pilihan raya lama lagi (tetapi) BN hadapi realiti sekarang.
“Jangan runding lepas pilihan raya insya-Allah rakyat dan pengundi sedar mereka akan beri undi semula kepada BN.
“Ketika itu insya-Allah apabila kita jadi kerajaan baru ada yang terhegeh-hegeh nak jumpa dengan kita, kita kata cukup sampai di sini. Kita mesti kata juga bukan cukup sampai sini sahaja (tetapi) sayang sudah terlambat,” katanya.
Tambahnya, pendirian BN itu bukanlah riak, sombong dan jauh sekali takbur dan ujub, namun yakin pengundi sudah sedar untuk memberi semula undi kepada gabungan tersebut. – KOSMO! ONLINE