BANDAR BAHARU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan mereka yang tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) agar berlapang dada.
Kata beliau, pasti ada individu yang kecewa dan tidak puas hati apabila tidak dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diidam-idamkannya.
“Kepada yang tidak dapat, kalau sedih, bersedihlah dan ambil tempoh bertenang dua tiga hari membawa hati lara.
“Selepas itu, keluarlah berkempen untuk memastikan parti kita menang dalam pilihan raya. Itu yang penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Kedah yang turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pekan Serdang di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, apa yang ditakutkan adalah apabila ada pihak yang tidak berpuas hati mengambil tindakan melakukan sabotaj kepada parti.
“Jangan ada sabotaj dalam parti termasuk di Kedah ini, sokong kawan yang bertanding. Kalau kita bertanding, mesti kita nak kawan-kawan sokong kita, begitu juga kawan kita.
“Kita kena berjiwa besar. Saya nak beritahu bahawa orang yang paling berjiwa besar dalam kalangan kita adalah Datuk Seri Presiden yang mengumumkan saya sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15,” ujarnya.
Beliau pada masa sama mahu segala ‘senjata’ dan ‘peluru’ dihalakan kepada musuh dalam menghadapi PRU15.
Katanya, kesemua ahli BN harus menyedari dan kenal siapa lawan dan siapa kawan mereka yang sebenarnya.
Malah, Ismail Sabri berkata, kesemua ahli parti wajib mengelak daripada menghalakan senjata ke kaki sendiri yang mungkin boleh menyebabkan calon BN tewas.
Justeru, beliau berharap momentum solidariti ditunjukkan ahli ketika ini diterjemahkan pada hari mengundi PRU15 sehingga keputusannya diumumkan. – KOSMO! ONLINE