fbpx

Kesibukan harian tidak halang uruskan Liga Fantasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA pengurus yang berjaya muncul sebagai pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM200.
LOGESAN RAMACHANDRAN

Pilih Kane kerana jangka Haaland akan ‘flop’

KESIBUKAN bekerja dan belajar tidak menghalang Logesan Ramachandran untuk memahat nama sebagai pemenang mata tertinggi Liga Fantasi Kosmo! bagi saingan minggu ke-11.

Pengurus projek kejuruteraan mekanikal di sebuah kilang kelapa sawit itu menyandarkan harapan kepada bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane sebagai kapten pasukan, Mesham FC.

Dia yang sedang menyambung pengajian jurusan Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Antarabangsa Malaya-Wales yakin dengan keputusannya walaupun merupakan seorang peminat tegar Liverpool.

“Saya ada Salah tetapi tidak buang daripada pasukan. Saya lihat Liverpool kurang menjadi sejak kebelakangan ini dan jangka aksi lawan (Manchester) City tidak menjanjikan gol banyak.

“Mungkin markah saya tinggi sebab (Erling) Haaland ‘flop’. Satu Malaysia atau satu dunia pilih Haaland jadi kapten, jadi saya pilih Kane untuk beri kelainan kepada pasukan,” katanya.

 

MUSSALI ABU BAKAR

Pengalaman bezakan sentuhan berbisa Mussali

PENGALAMAN berada dalam kelompok 10 terbaik Fantasy Premier League (FPL) Malaysia dua tahun lalu antara faktor utama kejayaan pengurus Batu Sapi FC, Mussali Abu Bakar.

Pemilihan penyerang Bournemouth, Dominic Solanke sebagai kapten membolehkan pasukan dari Sandakan, Sabah itu muncul antara lima pungutan mata ter­tinggi minggu ke-11 Liga Fantasi Kosmo!.

“Peratusan pengurus ambil Solanke adalah rendah, jadi saya pilih dia untuk cipta kelainan. Ia satu usaha untuk saya kejar se­mula pungutan mata keseluruhan,” katanya yang bertugas sebagai juruteknik luar pesisir.

Pengurus dari Sandakan, Sabah itu juga teruja kerana bukan sahaja bakal menerima ganjaran tetapi kisahnya turut diterbitkan pada akhbar Kosmo! dan ia merupakan keunikan Liga Fantasi Kosmo!.

“Menerusi yuran dibayar, saya juga dapat langganan web Kos­mo! setahun. Kalau Kosmo! ada aplikasi, lebih mudah dapat notifikasi berita-berita menarik untuk saya baca,” jelasnya.

 

AMIRUL RIDHWAN

Salah bantu Amirul menang kali kedua

PERCATURAN membawa masuk penyerang Liverpool, Mohamed Salah ternyata membawa tuah buat Amirul Ridhwan Anuar apabila menjadi antara lima pemenang mata tertinggi mingguan Liga Fantasi Kosmo!.

Lebih manis ia adalah kemenangan kali kedua Amirul selepas muncul juara pada saingan minggu keempat sebelum kini.

Biarpun tidak menggunakan sebarang chip tetapi kecemerlangan prestasi pemain-pemain pilihannya se­perti Salah mahupun Mason Mount sememangnya menjadi antara faktor utama kejayaannya kali ini.

“Ini kali kedua saya dinobatkan sebagai pemenang minggu tertinggi Liga Fantasi Kosmo! dan tidak sangka ke­rana saingan benar-benar sengit minggu ini.

“Apa pun, pertukaran kapten minggu ini dengan membawa masuk Mohamed Salah ternyata menjadi untuk membantu saya mengutip mata tertinggi. Saya yakin Salah mampu menjaringkan gol berdasarkan prestasinya pada saingan Liga Juara-Juara apabila meledak hatrik ketika membenam Rangers 7-1.

“Sebelum ini saya guna penyerang Manchester City, Erling Haaland dan tahu bukan mudah City untuk me­numbangkan Liverpool. Selain Salah, saya juga membawa masuk pemain Chelsea, Mason Mount,” katanya.

 

JAMAL ABDUL

Jamal Abdul memburu kemenangan hatrik

SELEPAS berjaya dinobatkan sebagai lima pemenang mata tertinggi mingguan Liga Fantasi Kosmo!, Jamal Abdul Nasser Che Deraman meletakkan impian untuk memburu kemenangan hatrik.

Bagaimanapun, Jamal Abdul menegaskan, hadiah mingguan bukan fokus sebenarnya kerana misi utamanya adalah untuk muncul juara keseluruhan FPL Kosmo! 2022/23.

Justeru, pengurus FPL ber­usia 41 tahun itu mengambil masa lebih lama dan berhati-hati ketika mencongak pilihan pemain pada setiap perlawanan kerana ketika ini Jamal Abdul berada di kedudukan kedua tertinggi carta Liga Fantasi Kosmo! dengan mengumpul 713 mata keseluruhan.

“Ini kali kedua saya berada dalam senarai lima tertinggi Liga Fantasi Kosmo!. Memang saya benar-benar tidak jangka mencatat mata tertinggi. Mungkin disebabkan saya letak Harry Kane sebagai kapten pasukan.

“Sebenarnya fokus saya bukan terarah kepada mingguan kerana sasaran saya adalah untuk muncul juara keseluruhan. Jadi, saya perlu mengurangkan kesilapan dan kurangkan untuk tolak mata.

“Ketika ini saingan juga makin sengit dan jadual perlawanan juga padat. Jadi saya perlu berhati-hati dan mengambil masa sedikit terutama pemilihan pemain,” katanya.

 

MOHD KHAIRUL AMIN

Jose Sa penyelamat gawang Pasir Mas FC

WALAUPUN kapten, Erling Haaland gagal menghadiahkan mata maksimum, namun ia masih belum mampu menghalang Pasir Mas FC menjadi pemenang minggu ke-11 Liga Fantasi Kosmo!.

Kecekapan penjaga gol Wolves, Jose Sa ketika bertemu Nottingham Forest nyata membantu pasukan Mohd. Khairul Amin Mat Ripin apabila mengutip 14 mata.

Aksi cemerlang ditampilkan Ivan Toney, Bukayo Saka dan Diogo Dalot turut membantu kemenangan Khairul Amin yang menamatkan Liga Fantasi Kosmo! musim lalu dalam kelompok 10 teratas.

“Memang tidak sangka dapat jadi salah seorang pemenang minggu ke-11 kerana saya tidak ubah sangat pasukan, cuma Sa selamatkan pasukan apabila mengutip 14 mata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI