fbpx

Beza politik tak ancam keharmonian kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Biarpun bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hangat diperkatakan selepas Parlimen dibubarkan baru-baru ini, namun jalinan hubungan antara masyarakat di kawasan kampung tetap utuh walaupun berbeza pandangan politik.

Suasana di kampung kini dilihat jauh berbeza jika diban­dingkan ketika era 1980-an yang mana pada masa itu, perbezaan politik merenggangkan hubu­ngan persaudaraan termasuk adik-beradik.

Kini ia dilihat sudah mula menunjukkan banyak perbezaan dari segi jalinan hubungan komuniti yang semakin baik terutama dalam kalangan generasi muda.

Di Pulau Pinang, Majlis Pe­ngurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Ampat, Balik Pulau, Mohd. Majdan Nut Jamudin berkata, penyatuan antara penduduk kampung terutama orang lama dan muda hari ini dilihat semakin positif khususnya menerusi penganjuran program imarah masjid.

“Walaupun masih ada segelitir kecil terdiri mereka berusia 60-an yang terlalu fanatik dengan parti politik sehingga ada yang berpuak-puak, namun sebaha­gian besarnya sudah boleh duduk minum kopi semeja.

“Orang muda kampung hari ini sudah mula celek dengan pendedahan situasi semasa. Mereka boleh berinteraksi dengan baik walaupun berbeza politik,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai PRU15, beliau berharap agar pengundi muda bijak membuat pilihan dalam menentukan pucuk pimpinan negara.

“Harap mereka (pengundi) matang dalam menentukan calon yang dapat mentadbir urus negara. Pucuk pimpinan yang berkaliber dan komited sememangnya mencerminkan nilai hubungan serta kemesraan de­ngan penduduk,” jelasnya.

Sementara itu, di Kota Tinggi, Johor, rata-rata penduduk menyifatkan isu berpuak-puak yang berlaku sebelum ini sudah semakin menurun dan mereka sudah boleh duduk semeja dalam sesuatu majlis atau program.

Menurut Ketua Kampung Felda Lok Heng Selatan, Mohamad Bakar, dalam hal ini, penduduk kampung kini lebih terbuka fikiran mereka berbanding ge­nerasi terdahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengharapkan agar PRU15 dapat menstabilkan suasana politik negara, sekali gus menaikkan indikator kegembiraan rakyat termasuk di kampung seperti mana berlaku sebelum PRU14.

“Ini penting kerana banyak cabaran terpaksa dilalui penduduk terutamanya di Felda yang berdepan dengan kejatuhan harga sawit paling rendah.

“Kita memang mengharapkan PRU15 dapat mengembalikan kestabilkan suasana politik negara yang sudah pasti menstabilkan ekonomi.

“Sebagai rakyat, memang kita dapat lihat kestabilan sesebuah negara memainkan peranan penting untuk kesejahteraan rakyat, “ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI