fbpx

Glomac optimis catat jualan lebih baik tahun 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukisan grafik projek hartanah Glomac yang telah mendapat tempahan menggalakkan daripada pelabur.

KUALA LUMPUR – Glomac Berhad optimis untuk mencapai jualan lebih baik bagi tahun kewa­ngan semasa yang berakhir pada 30 April 2023, berbanding RM160 juta yang dicatat tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor berkata, tahun ini pihaknya telah merekodkan jualan sekitar RM125 juta, meskipun suku tahun kedua tahun kewangan semasa masih belum berakhir.

“Kami kehilangan hampir lapan bulan tahun lalu disebabkan pandemik, pembeli ke­biasaannya mahu ke galeri jualan untuk melihat sendiri hartanah terutamanya bagi kediaman hartanah.

“Syarikat bakal melancarkan projek baharu bernilai RM459 juta tahun ini, berkemungkinannya pada suku tahun ketiga dan kempat kerana kami ingin melihat terlebih dahulu sama ada situasi pasaran semasa akan bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Menara Glomac selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kumpulan yang ke-38 di semalam.

Pada mesyuarat berkenaan, pemegang saham meluluskan dividen peringkat tunggal berjumlah 1.5 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan ber­akhir 30 April 2022, berbanding satu sen pada tahun sebelumnya.

 

Dalam pada itu, FD Iskandar berkata, sektor hartanah dilihat bakal terus berdepan laluan sukar disebabkan pelbagai isu termasuk kenaikan kadar dasar semalaman, lonjakan inflasi, kekurangan tenaga buruh dan kenaikan harga bahan binaan.

Jelasnya, meskipun berdepan pelbagai kenaikan kos, pemaju hartanah tidak memiliki ke­upayaan untuk menaikkan harga jualan dalam situasi ekonomi semasa, seterusnya mengakibatkan margin keuntungan mereka semakin mengecil daripada 19 hingga 20 peratus sebelum ini kepada hanya digit tunggal.

“Pada masa sama, kami telah menyaksikan harga bahan binaan dalam negara, misalnya besi telah kembali stabil pada paras RM3,200 hingga RM3,300 satu tan berbanding RM3,800 pada awal tahun.

“Pun begitu, harga bahan binaan yang diimport dari luar negara seperti aluminium masih belum turun meskipun harga pasaran di antarabangsa menunjukkan penurunan, ringgit juga telah menyaksikan banyak penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat yang masih menjadi pilihan untuk tujuan import,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI