NEW DELHI – Penduduk perkampungan Upla dalam negeri Maharashtra, India, mendaftarkan sebidang tanah ladang untuk satu kawanan monyet kerana terlalu menyanjungi haiwan itu, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Penduduk India sentiasa memandang tinggi monyet dengan memberi makan dan melibatkan haiwan itu dalam pelbagai upacara.
Namun, keputusan penduduk Upla adalah yang paling mengejutkan setakat ini apabila mendaftarkan tanah seluas 12.9 hektar atas nama monyet, satu fakta yang diakui oleh ketua kampung.
“Walaupun dokumen dengan jelas menyatakan bahawa tanah itu milik monyet, namun tidak diketahui siapa yang mencipta peruntukan ini untuk haiwan dan bila ia dilakukan.
“Perkampungan ini adalah habitat kepada hampir 100 monyet kini, dan bilangan haiwan itu telah berkurangan selama bertahun-tahun kerana ia tidak tinggal lama di satu tempat,” kata ketua kampung, Bappa Padwal. – Agensi