KUALA LUMPUR – Skuad badminton remaja kebangsaan berdepan tugas getir untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik menerusi acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022 di Santander, Sepanyol.
Malaysia dijadualkan berdepan juara bertahan, Indonesia hari ini bagi aksi penentuan juara Kumpulan A yang bakal menentukan salah sebuah pasukan melangkah ke suku akhir sebagai lapan pasukan terbaik atau sebaliknya.
Perseorangan lelaki remaja utama negara, Justin Hoh percaya, pasukan negara jiran itu mampu menjadi halangan utama Malaysia untuk melangkah ke pusingan suku akhir sebagai juara kumpulan.
Walaupun mengakui kehebatan Indonesia, namun pemain No.3 remaja dunia itu tetap menaruh keyakinan terhadap kemampuan diri serta rakan sepasukan untuk melakar kemenangan pada pertemuan hari ini.
“Pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A, kita akan bertemu Indonesia yang merupakan juara edisi lalu. Bagaimanapun, saya yakin kita masih ada peluang untuk catat kemenangan ke atas mereka.
“Saya serta semua pemain negara akan berjuang habis-habisan kerana saya anggap mereka sebagai penghalang utama Malaysia untuk melangkah ke pusingan seterusnya. Kita akan fokus terhadap satu demi satu perlawanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Justin yang sudah memenangi empat gelaran pada saingan musim ini menyatakan, kedua-dua pasukan memiliki kelebihan masing-masing selain menganggap pertemuan hari ini seimbang.
“Apa yang saya nampak, Indonesia memiliki kelebihan menerusi acara wanita manakala Malaysia lebih baik dalam acara lelaki. Sebab itulah pertemuan tersebut akan menjadi satu perlawanan yang seimbang.
“Harapan saya adalah untuk membantu Malaysia dengan menghadiahkan satu mata kepada pasukan. Sementara itu, saya juga berharap rakan sepasukan mampu untuk sumbangkan mata buat pasukan negara,” ujar pemain berusia 18 tahun itu.
Selain mahu membantu Malaysia melakar kejayaan dalam acara berpasukan campuran, Justin juga diletakkan sebagai sandaran bagi membawa pulang kejuaraan dunia perseorangan lelaki yang kali terakhir dimenangi Zulfadli Zulkiffli pada edisi 2011 di Taiwan. – KOSMO! ONLINE