fbpx

Maut menanti di sebalik senyuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Sosie Bacon (gambar kanan) memberikan lakonan cemerlang dalam Smile dan wajar diberikan pujian selayaknya.

MENONTON filem seram terbaharu arahan sutradara, Parker Finn berjudul Smile meninggalkan rencam gambaran dan persoalan yang sukar dihilangkan dalam fikiran.

Perihal tersebut memberi petanda positif bahawa karya yang dijayakan bintang utama, Sosie Bacon sebagai Dr. Rose Cotter itu benar-benar berkesan.

Garapannya sukses, terutama dari segi naratif, terjemahan lakonan (terutama lakonan Sosie) dan paling penting, jumpscare (elemen kejutan).

Selaku pakar psikiatri, kehidupan Rose Cotter berubah selepas bertemu dengan seorang pesakit yang juga pelajar ijazah kedoktoran (PhD), Laura Weaver yang membunuh diri dalam keadaan tersenyum ketika sesi kaunseling.

Itu serba sedikit sinopsis tentang filem Smile yang kini sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Ketika ulasan ini ditulis, Smile masih berada di posisi pertama carta filem di Malaysia.

Lakonan berkesan

Menyentuh tentang kualiti naskhah yang diadaptasi daripada filem pendek Laura Hasn’t Slept terbitan pada 2020 tersebut, pertama sekali, karakter yang dijayakan Sosie sebagai Rose Cotter sangat memberi impak. Rose menjadi nadi penting, mengapa audiens berpusu-pusu ke panggung menyaksikan filem ini.

Riak wajah, bahasa tubuh dan permainan emosi yang dicernakan Sosie melalui lakonannya begitu berkesan dan layak diberikan pujian.

Dalam kebanyakan babak suspens yang dijayakan, memang tidak senang duduk penonton dibuatnya.

Mengapa? Kerana, semuanya tidak boleh jangka waima adegan membuka tin makanan kucing pun mampu membuat adrenalin menderas dan jantung pantas berdegup kencang secara tiba-tiba.

Itu penangan seorang pelakon hebat yang berjaya menghidupkan nuansa filem horror dengan cemerlang dan kualiti tersebut ada dalam diri Sosie yang sebelum ini cukup terkenal dengan drama bersiri popular, 13 Reasons Why.

Aspek teknikal seperti sinematografi dan efek bunyi Smile juga berkelas cemerlang, sekali gus melengkapkan filem berkenaan sebagai naskhah horror yang mempunyai penangan tersendiri terhadap setiap penonton.

Nilai teknikal, suspens

Kualiti efek bunyi yang membuatkan jantung hampir ‘tercampak’ keluar daripada dada juga menjadi satu dukungan yang kuat bagi sesebuah filem seram.

Aspek itu juga terkandung dalam Smile.

Sungguhpun ada banyak kualiti, untuk sebuah filem, Smile tetap memiliki kelemahan yang barangkali segelintir penonton termasuk penulis cukup sedar, terutama soal ketulenan idea asal.

Menikmati Smile di bangku panggung kadang-kadang menghadirkan imbas kembali terhadap karya-karya bertema sama yang pernah diterbitkan sebelum ini seperti It Follows arahan David Robert Mitchell dan The Ring (Gore Verbinski).

Persamaan yang bagaimana? Itu perlu dirungkai atau dinilai sendiri peminat dengan menghadirkan diri ke panggung wayang dan membelanjakan sekitar RM20 untuk sekeping tiket.

Buat penulis secara peribadi, Smile sebuah filem horror yang memuaskan secara keseluruhannya.

Selepas menonton, sematkan di fikiran untuk tidak terlalu murah dengan senyuman kerana takut berakhir dengan sengsara yang dirasai oleh Dr. Rose Cotter dan mangsa-mangsa yang ‘terkorban’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI