PETALING JAYA – Keadaan hujan hampir setiap hari dijadikan alasan oleh kebanyakan pembekal dan peniaga untuk menaikkan harga sayur ekoran kekurangan bekalan kebelakangan ini.
Tinjauan di Pasar Chow Kit di sini mendapati, rata-rata peniaga berkata, tanaman sayur tidak menjadi ketika ini hingga mengakibatkan bekalan semakin sukar didapati dan mereka tiada pilihan melainkan menaikkan harga kerana permintaan yang meningkat.
Seorang peniaga yang dikenali sebagai Isnaidi, 30-an, berkata, kenaikan harga sayur-sayuran bukan sahaja menjejaskan pembeli, malah ia turut melibatkan peniaga kerana mereka perlu mengeluarkan modal tinggi untuk mendapatkan bekalan.
“Kenaikan harga sayur makin ketara pada musim tengkujuh. Kami pun pening kepala kerana perlu beli pada harga tinggi daripada pembekal.
“Jika jual harga rendah, kami pula yang rugi. Mahu tak mahu, kena jual pada harga tinggi selagi ia mendapat permintaan dan ada pelanggan yang membeli,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Isnaidi, antara harga sayuran yang naik dengan ketara adalah kacang panjang dan kacang bendi.
Tambahnya, jika sebelum ini kacang panjang dan kacang bendi dijual RM6 sekilogram, namun sekarang ia mencecah RM8 hingga RM9 sekilogram.
Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali pula berkata, mereka masih mendapat untung walaupun harga sayur mahal kerana pembeli sentiasa ada.
“Apa yang dirisaukan ialah keadaan ini akan berlanjutan kerana pembekal kerap memberi alasan tengkujuh untuk menaikkan harga,” katanya.
Seorang pelanggan Yandri Asnimar Suki, 53, berkata, dia tiada pilihan melainkan terpaksa membeli sayur pada harga mahal ketika ini.
“Mungkin benar musim tengkujuh jadi penyebab tanaman rosak atau tak menjadi hingga menyebabkan harga sayur naik.
“Keadaan ini akan menyebabkan kos sara hidup bertambah tinggi terutama mereka yang menetap di kawasan bandar,” katanya.