Oleh NOR AINNA HAMZAH
TAMPIN – Seorang bayi lelaki yang bakal genap usianya setahun pada 11 Oktober ini disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Tampin di sini akibat lemas dalam baldi di dapur rumah keluarganya di Desa Permai Repah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab berkata, kejadian yang menimpa bayi itu disedari oleh bapa mangsa yang berusia lingkungan 20-an selepas bangun tidur pada pukul 5.30 pagi sebelum bersiap ke tempat kerjanya.
Menurutnya, bapa mangsa menyedari anak ketiganya sudah berada di dalam baldi takungan air yang diletakkan di dapur rumah.
“Baldi takungan air itu digunakan semasa Tampin terputus bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan.
Anuwal berkata, bapa mangsa segera membawa anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Tampin, namun sebaik tiba, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh doktor.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan oleh pegawai penyiasat termasuk merakam percakapan bapa, ibu mangsa dan pakar perubatan Hospital Tunku Jaafar di Seremban.
“Bedah siasat telah selesai dijalankan dan doktor mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.