SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan beliau hanya berseloroh apabila mengeluarkan ungkapan ‘pecat menteri’ ketika berucap di Bagan Datuk, Perak Isnin lalu.
Beliau berkata, menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sudah lama akan dipecat daripada Kabinet sekiranya beliau benar-benar serius dengan ‘gurauan’ tersebut.
“Saya berseloroh ke serius? Kalau saya serius, dia dah kena pecat dah.
“Dia ada dalam Kabinet tu, tak kena pecat lah, maknanya saya berseloroh lah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung ucapannya ketika Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Negeri Perak di Bagan Datuk, Isnin lalu yang mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Dalam ucapannya itu, Ismail Sabri ada memberi bayangan mengenai pembubaran Parlimen dalam Kabinet.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibawa dalam mesyuarat Kabinet terakhir pada 7 Oktober lalu, yang mana beliau memaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan membubarkan Kabinet jika ada yang tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen.
“Silap, patutnya saya pecat semua sekali, tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, tetapi bukan lembut,” katanya.
Walau bagaimanapun, hari ini, Abd Latiff yang terkilan dengan kenyataan Ismail Sabri dilaporkan berkata, belum terlambat untuk Ismail Sabri memecat anggota Kabinet sementaranya seperti yang dibangkitkan sebelum ini.
Malah Abdul Latiff yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, penggunaan ayat seperti “pecat menteri” tidak sepatutnya digunakan Ismail Sabri dalam program politik walaupun ia dalam gurauan atau sinikal. – KOSMO! ONLINE