HULU TERENGGANU – Fenomena kumpulan gajah berpindah ke kawasan tinggi yang kerap dilihat sejak akhir-akhir ini bukan petanda kepada kemungkinan berlakunya bencana seperti banjir besar.
Pengarah Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Amirrudin Ahmad berkata, ia merupakan fenomena biasa bagi haiwan mamalia itu mendaki kawasan berbukit secara berkumpulan bagi mencari makanan.
“Gajah merupakan haiwan kawanan yang bergerak secara berkumpulan. Jarang haiwan ini bergerak bersendiri kecuali terpisah dari kumpulan sehingga tersesat.
“Walaupun berat badan mamalia ini boleh melebihi setan, gajah mempunyai keupayaan untuk mendaki tanah tinggi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Berita berkaitan: Gajah naik bukit mungkin petanda bencana alam
Media sebelum ini melaporkan mengenai sekumpulan 14 ekor gajah yang dikesan sedang mendaki bukit di tepi Jalan Aring-Kenyir dekat sini pada 6 Oktober lalu.
Kejadian itu turut mengejutkan para pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
Selain itu, satu rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan sekumpulan gajah mendaki sebuah bukit di Simpang Kuala Betis-Lojing, Gua Musang.
Masyarakat Orang Asli daerah berkenaan mempercayai kejadian gajah mendaki bukit itu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.
Amirruddin berkata, kebiasaannya gajah akan mendaki kawasan tinggi seperti bukit bagi mencari sumber makanan.
Berita berkaitan: [VIDEO] Pemandu tergamam, 30 ekor gajah liar melintas
Katanya, ia disebabkan kawasan sumber makanan mamalia itu di kawasan rendah mungkin sudah berkurangan atau laluan utama haiwan berkenaan sudah tidak dapat dimasuki.
“Bukit Lawit yang merupakan lokasi penemuan kumpulan gajah sehingga tular di media sosial baru-baru ini sememangnya kawasan habitat mamalia berkenaan.
“Penyelidik UMT juga pernah menjumpai laluan gajah pada ketinggian 500 meter di bukit berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Amirruddin menasihatkan khalayak agar tidak panik, apatah lagi mempercayai dakwaan palsu yang kononnya mengaitkan aktiviti gajah mendaki tanah tinggi tersebut dengan bencana besar.