MEMILIH untuk mempertahankan rumah tangga, pasangan selebriti Lesti Kejora dan suami Rizky Billar muncul bersama di hadapan umum buat pertama kali di Balai Polis Jakarta Selatan, malam semalam.
Dalam kesempatan itu, Lesti memohon maaf kepada masyarakat dan keluarganya kerana terkait dengan kontroversi rumah tangganya.
Dia juga berharap apa yang berlaku itu menjadi pelajaran buat dia dan suami dalam melayari rumah tangga yang masih setahun jagung itu.
Penyanyi dangdut berhijab itu juga berharap Rizky akan menjadi suami dan ayah yang baik pada masa hadapan.
“Salah satu sebab saya menarik balik laporan kerana saya yakin dia boleh jadi bapa terbaik untuk anak kami.
“Ini akan menjadi pengajaran bukan sahaja kepada dirinya tetapi saya sendiri.
“Apa pun keputusan berdamai ini dibuat secara secara sepakat antara keluarga kami,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan ini jalan beriringan sambil berpelukan ketika muncul bersama buat pertama kali di balai polis malam tadi.
Lesti kelihatan mencium tangan suaminya yang berpakaian baju kemeja T berwarna hitam.
Dalam pada itu, Rizky turut berjanji kepada keluarga Lesti untuk menjadi suami dan ayah yang lebih baik.
“InsyaAllah mereka tidak salah memilih menantu, pilih saya untuk menjaga isteri dan anak kami,” ujarnya
Sementara itu, kes siasatan terhadap pelakon itu berkaitan keganasan rumah tangga sudah dihentikan selepas kedua-duanya sepakat berdamai.
Sebelum ini, Lesti membuat laporan polis dan mendakwa dipukul suaminya pada 28 September 2022, kira-kira pukul 1.51 pagi di kediaman mereka, Cilandak, Jakarta Selatan.
Penyanyi lagu Sekali Seumur Hidup itu mendakwa suaminya berlaku curang sehingga berlaku pergaduhan antara mereka.
Rizky didakwa bertindak agresif dengan memukul dan mencekik isterinya sehingga terjatuh ke lantai.
Bagaimanapun, penyanyi itu mengejutkan ramai pihak apabila menarik balik laporan polis yang dibuat dan memaafkan suaminya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar. – KOSMO! ONLINE