SERDANG – Kegiatan jenayah pecah cermin kereta dan curi di sekitar Serdang dan Petaling Jaya tumpas selepas seorang, lelaki tempatan disyaki terlibat ditahan di daerah Puchong, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, awalnya laporan diterima insiden pecah cermin kereta di tempat letak kenderaan di Everyday Foodcourt, Pusat Bandar Puchong, di sini, mengakibatkan mangsa hilang barang berharga bernilai RM3,000.
Katanya, berdasarkan laporan mangsa, risikan dan maklumat polis cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Puchong, satu lelaki tempatan berusia 37 ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah itu.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 28 rekod jenayah lampau, merupakan seorang penganggur, dan menetap di Petaling Jaya.
“Tangkapan dan rampasan yang dilakukan di daerah Puchong dan Kepong, membawa kepada penemuan pelbagai rampasan barang berharga disyaki hasil kegiatan jenayah suspek di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Antara barangan dirampas adalah beberapa telefon bimbit, powerbank, beg, mata wang asing pelbagai negara dan sebuah kereta jenis Proton Pesona yang keseluruhan bernilai sekitar RM13,000.
Jelas Anbalagan, turut dirampas alatan yang digunakan suspek melakukan aktiviti jenayah pecah cermin kereta seperti pemutar skru, pembaris elektronik dan juga lampu suluh.
Dalam pada itu, menurut Anbalangan, modus operandi suspek adalah bergerak sendirian dan mensasarkan kereta kenderaan di kawasan gelap lalu memecahkan cermin sisi belakang sebelum mencuri barang berharga dalam kereta.
Katanya, barangan curi akan dijual suspek secara dalam talian dan kegiatan yang dijalankan suspek bermula semenjak awal bulan Ogos lalu.
“Kejayaan tangkapan sekali gus menyelesaikan sembilan kes yang sama di kawasan Lembah Klang.
“Suspek ditahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan diperintah tahan reman sehingga Khamis ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.