KUALA SELANGOR – Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental nyaris rentung apabila kediamannya di Batu 7, Tanjong Karang di sini, musnah terbakar malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 47 tahun dipercayai bersendirian di rumah tersebut dan berjaya keluar menyelamatkan diri.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan 14 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dan Sungai Besar bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 7.49 malam.
“Setibanya di lokasi, api didapati sedang marak memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan.
“Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit dan melibatkan 90 peratus kemusnahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, ketika kejadian abang mangsa yang berusia 49 tahun dipercayai tiada di rumah tersebut.
“Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur dan disedari jiran berdekatan.
“Punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO!ONLINE