fbpx

APMM tahan dua bot nelayan tempatan, guna kru warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan oleh APMM di perairan Pantai Remis, dekat Lumut kelmarin.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan dua bot nelayan tempatan (BNT) kelas B pada kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika barat daya muara Pantai Remis dekat sini sekitar pukul 6.10 petang kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot APMM selepas menerima aduan komuniti nelayan setempat.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama telah menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

“Ia dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga Myanmar, seorang kru warga Thailand dan seorang kru warga Kemboja berumur lingkungan 33 hingga 44 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua tekong dan kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Hambali berkata, hasil pemeriksaan bagi tangkapan kedua pula mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berumur lingkungan 35 hingga 40 tahun, juga melakukan kesalahan yang sama.

“Tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua kru serta bot ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat atau aduan jenayah maritim, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI