fbpx

Young Tigers ‘lulus’ aksi pertama antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA (jersi biru) menunjukkan petanda positif biarpun tewas 1-4 kepada Australia pada aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja lelaki negara menunjukkan petanda positif menjelang Piala Sultan Johor (SOJC) di Johor Bahru minggu depan meskipun tewas 1-4 kepada Australia dalam aksi persahabatan sebentar tadi.

Ia berdasarkan peningkatan prestasi ditunjukkan barisan pemain dalam setiap empat suku permainan sehingga membolehkan skuad negara meraih satu gol pada aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu.

Secara keseluruhan, ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim berpuas hati dengan apa dilihatnya memandangkan skuad bimbingannya cuma mempunyai empat pemain yang pernah beraksi di peringkat antarabangsa.

“Pemain mula mendapat rentak perlawanan antarabangsa. Semua sedia maklum kita cuma ada empat pemain pernah bermain aksi antarabangsa dan selebihnya hanya beraksi di peringkat domestik.

“Saya akui jurang kita dengan Australia agak ketinggalan tetapi dengan apa yang saya ada dan tempoh masa sekarang, saya boleh katakan berpuas hati,” katanya selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

AUSTRALIA (jersi kuning) antara pasukan pilihan untuk menjuarai saingan SOJC yang akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya minggu depan. – MHC

Malaysia melepaskan empat gol kepada Kookaburras, semuanya melalui pukulan sudut penalti menerusi Cambell Geddes (m-8 dan m-51), David Hubbard (m-12) serta Cooper Burns pada minit ke-18.

Gol tunggal skuad Young Tigers pula dihasilkan oleh Muhammad Hazreeq Alief Rosli menerusi jaringan padang pada minit ke-55.

Dalam masa sama, skuad negara berharap kecederaan dialami Muhammad Danish Danial Abdul Wahab dipercayai hamstring tidak serius sehingga menjejaskan peluangnya beraksi pada SOJC.

Esok, Malaysia akan bertemu Great Britain untuk aksi pemanas badan terakhir di Stadium Hoki Taman Daya sebelum membuka tirai SOJC menentang India pada Sabtu ini.

PEMAIN Malaysia dan Australia bergambar kenangan selepas tamat aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. – MHC

Selain Malaysia, Australia, Great Britain dan India, dua lagi negara iaitu Afrika Selatan dan Jepun turut mengambil bahagian pada edisi ke-10 kali ini yang akan berlangsung dari 22 hingga 29 Oktober.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama penganjuran SOJC selepas dua tahun terpaksa dibatalkan disebabkan Covid-19 dengan pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul juara edisi pertama pada 2011.

Ia juga dilihat sebagai platform persediaan terbaik sebelum skuad negara menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur hujung tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI