Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Seorang tekong yang ditemui mati lemas dalam tragedi bot karam di Muka Head di sini pagi tadi dikatakan baru empat bulan bekerja sebagai pengemudi bot nelayan terbabit.
Mangsa, Haw weng Chong, 48, yang juga bekas penyelenggara pendingin hawa dijumpai tidak sedarkan diri oleh nelayan tempatan selepas dibawa arus dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 pagi itu.
Ketika kejadian, dua lagi awak-awak ditemui dalam keadaan selamat, manakala seorang lagi dipercayai warga Indonesia masih belum ditemui.
Difahamkan, dua mangsa yang terselamat kini menerima rawatan di Hospital Balik Pulau dekat sini.
Isteri mangsa yang juga warga Vietnam, Le Thi Hong, 38 berkata, dia menerima berita mengenai kematian suaminya daripada rakan dan ahli keluarga pagi tadi.
“Dia (suami) keluar dari rumah dan pergi ke laut pada Rabu lalu. Saya tidak menyangka yang dia terlibat dalam tragedi itu kerana dia baru sahaja bekerja sebagai nelayan empat bulan lalu.
“Dia memilih kerjaya itu selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu dan baru sahaja belajar berenang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Balik Pulau di sini sebentar tadi.
Artikel berkaitan : Tekong ditemui lemas, seorang awak-awak hilang bot karam
Menurut Thi Hong yang bekerja sebagai pencuci pinggan, dia selama ini hanya bergantung kepada suaminya untuk menguruskan hal kewangan dua anak perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa masih diaktifkan
dengan melibatkan pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan nelayan.
Tambahnya, orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626 146 atau 999. – K! ONLINE