SHAH ALAM – Masyarakat Islam di negara diminta tidak keliru dengan dakwaan seorang individu adalah keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, sebaliknya adalah lebih penting kita memfokuskan kepada menyayangi Nabi Muhamamad SAW dan ahli keluarganya.
Katanya, kita perlu memahami agama itu dalam asas yang betul dan bukannya mencari kesusahan.
“Pertama memang nabi suruh kita didik anak-anak kita adiibbu auladakum salasati qisas iaitu ajar anak kamu supaya sayang dengan nabi kamu dan ahli keluarga baginda.
“Jangan kita duduk hina keluarga nabi, isteri nabi, itu tidak boleh,” katanya di sini.
Terdahulu, beliau menyampaikan cek Peruntukan Kewangan Imam Bilal, Guru Takmir dan Guru Kafa berjumlah RM51,984,816 kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sempena Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Sebelum ini, tular video di media sosial akan kehadiran individu yang mendakwa sebagai keturunan Rasulullah SAW yang sebelum ini ke negara ini melalui beberapa program di beberapa buah negeri.
Bagaimanapun, program yang dijadualkan di Kedah, Terengganu, Kelantan serta Selangor dibatalkan selepas tidak mendapat kelulusan jabatan agama negeri.
Idris turut memberitahu adalah tidak perlu bagi seseorang mendakwa dan memaklumkan siapa dirinya (seperti dakwaan keturunan Nabi Muhammad SAW) sehingga menimbulkan polemik yang akan menyusahkan ummah.
“Hatta kita jumpa anak sendiri tidak memberikan apa-apa kesan dalam konteks ini.
“Orang duduk bincang ini sedangkan kita patut bincang bagaimana nak sayang pada nabi. Sayang baca al-Quran dan itu yang dipesan oleh nabi. Ia (dakwaan keturunan itu) menimbulkan kekeliruan, kekeruhan. Jadi, tidak ada faedah,” katanya. -KOSMO!ONLINE