PARIS – Bintang Real Madrid, Karim Benzema muncul pemenang Ballon d’Or tertua dalam sejarah anugerah itu dengan kali pertama dimenangi pemain England, Stanley Matthews pada 1956.
Benzema, 34, yang akan genap usia 35 tahun pada 19 Disember ini, juga lima bulan lebih tua berbanding Lionel Messi yang memenangi anugerah individu berprestij dunia itu buat kali ketujuh tahun lalu.
“Umur hanyalah sekadar angka. Keinginan saya untuk terus beraksi cukup membara dan ia antara faktor yang membuatkan saya tidak pernah putus asa.
“Ketika berusia 21 atau 22 tahun, saya tidak pernah memiliki keinginan sama seperti sekarang. Apa yang berubah sejak saya berusia 30 tahun adalah cita-cita saya.
“Cita-cita bermaksud bekerja lebih keras dan menjadi pemimpin dalam pasukan dan saya bernasib baik bermain untuk Madrid iaitu kelab terbaik di dunia,” katanya.
Benzema meraih pengiktirafan itu selepas meledak 44 gol dalam 46 aksi tahun lalu selain turut membantu Madrid merangkul kejuaraan berganda, Liga Juara-Juara Eropah dan La Liga.
Kecemerlangan itu membolehkan Benzema mengatasi dua pencabar terdekat iaitu bekas penyerang Liverpool yang kini bersama Bayern Munich, Sadio Mane dan perancang utama Manchester City, Kevin de Bruyne.
Kini, Benzema muncul pemain kelima dari Perancis memenangi Ballon d’Or sejak Raymond Kopa, Michel Platini, Jean-Pierre Papin dan Zinedine Zidane. – AGENSI