BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) memeterai perjanjian pertama antara kedua-dua blok berkenaan meliputi sektor pengangkutan udara serta kargo, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Menurut EU, kerjasama terbaharu itu akan segera menggantikan lebih 140 perjanjian perkhidmatan udara dua hala antara kedua-dua blok tersebut dengan hanya satu set peraturan.
Ia juga menyokong pemulihan dalam sektor aviasi yang terjejas akibat pelaksanaan sekatan perjalanan ketika kemuncak pandemik Covid-19.
“Perjanjian dua hala ini memberi kami platform baharu untuk bekerjasama ke arah penerbangan yang mampan dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar,” kata Komisioner EU untuk Pengangkutan, Adina Valean.
Menurutnya, pengangkutan udara merupakan penyumbang terbesar kepada pelepasan gas rumah hijau, manakala syarikat-syarikat penerbangan, bersama segmen lain dalam sektor tersebut kini berusaha mencari alternatif lain serta bahan api lebih bersih.
Perjanjian itu adalah penting kepada EU, yang merekodkan lebih lapan juta penumpang udara ke 10 negara ASEAN pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Menerusi perjanjian dua hala tersebut, syarikat-syarikat penerbangan di setiap blok boleh mengendalikan penerbangan terus, yang dilihat bakal memacu persaingan di kedua-dua pasaran.
Dengan meletakkan penanda aras meliputi 37 buah negara terlibat dalam perjanjian tersebut, ia akan membuka kedua-dua pasaran kepada peluang perniagaan, perdagangan dan pelancongan yang lebih baik.
Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi berkata, perjanjian pengangkutan udara komprehensif itu merupakan pencapaian penting dalam sektor penerbangan.
“Saya percaya Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif ASEAN-EU (ASEAN-EU CATA) akan mengukuhkan perkhidmatan pengangkutan udara, menghubungkan orang ramai, kebudayaan dan perniagaan di seluruh benua dan dalam masa sama, menyokong pertumbuhan mampan sektor penerbangan,” katanya. – Agensi