DUBAI – Firma lelongan Sotheby’s akan menawarkan berlian sempurna terbesar di dunia pada harga sekurang-kurangnya £13 juta (RM69.6 juta), Disember ini, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Dinamakan Berlian Golden Canary, permata berbentuk pir dengan berat lebih 300 karat (60 gram) itu dipamerkan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Ia ditemui dalam timbunan runtuhan oleh seorang gadis yang bermain di taman milik bapa saudaranya dalam tahun 1980-an. Dia menemui berlian kasar seberat 890 karat (178 gram) yang merupakan antara terbesar pernah dilihat di dunia.
Selepas dipotong menjadi bentuk pir, berlian kasar itu menjadi berlian sempurna paling besar pernah digredkan oleh Institut Gemological Amerika Syarikat (AS).
Berlian itu akan dilelong tanpa had oleh Sotheby’s di New York pada Disember ini dengan bidaan bermula pada harga AS$1 (RM4.72).
Ini bukan kali pertama berlian bernilai berjuta-juta dolar ditawarkan menerusi lelongan.
Sebelum ini, seorang pesara terkejut apabila mendapati barang kemas yang ingin dibuangnya sebenarnya ialah berlian seberat 32 karat (6.4 gram) dan bernilai £2 juta (RM10.7 juta).
Wanita berusia dalam lingkungan 70-an itu membeli permata tersebut dalam jualan but kereta beberapa tahun lalu tetapi tidak mengetahui nilai sebenarnya.
Dia mendapati barang kemas itu sangat berharga selepas diberitahu oleh seorang jirannya, malah, wanita itu terkejut apabila mengetahui barang kemas murah tersebut sebenarnya adalah berlian ‘luar biasa’. – Agensi