SEPERTI diketahui ramai, lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin telah mencipta fenomena luar biasa bukan sahaja di Malaysia, bahkan menular sehingga ke Indonesia.
Keunikan lagu tersebut sekali gus berjaya menempatkan kedudukan di posisi teratas carta dalam beberapa platform muzik digital di negara tersebut.
Rentetan daripada kejayaan yang diraih, nama Nuha dan Naufal semakin menjadi sebutan dengan meraih populariti yang cukup luar biasa.
Tidak hanya menjadi perhatian dalam kalangan peminat tempatan, Nuha dan Naufal cukup berbangga apabila dapat memenangi hati peminat mereka dari Indonesia.
Tidak mahu menunggu lama, terbaharu Nuha dan Naufal mengorak langkah apabila diberi peluang untuk merakamkan semula lagu, Jika sebuah karya ikonik nyanyian penghibur juga komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.
Lebih menarik, lagu yang sudah berusia 23 tahun itu telah dinyanyikan dalam dwi bahasa iaitu Melayu dan Arab.
Ujar Nuha atau nama sebenarnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, 22, berkata, sokongan peminat dari dua negara adalah peluang terbaik buat dirinya untuk terus melangkah jauh dalam bidang nyanyian.
Kepenatan
“Sebagai artis baharu dalam industri muzik, mendapat sokongan daripada orang Malaysia dan Indonesia begini adalah satu peluang serta rezeki besar yang Allah SWT berikan kepada saya.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan apa yang Allah bagi untuk saya dan Naufal. Sebenarnya memang tak sangka tapi ini adalah perkara yang saya impikan dan saya dapat capai,” katanya.
Tambahnya, peluang merakamkan semula lagu ciptaan penyanyi dan komposer tersohor itu juga sebagai satu impian yang sudah lama diidamkan selama ini.
“Impian saya akhirnya dipenuhi untuk menyanyikan semula karya Melly Goeslaw. Dia seorang yang sangat berbakat dalam industri muzik Indonesia. Malah dia juga sangat dikenali di Malaysia.
“Saya membesar dengan lagu-lagunya. Seperti tidak percaya apabila Melly menyokong saya dan juga Naufal untuk merakamkan semula lagu Jika ini,” jelasnya.
Sementara itu, Naufal, 23, pula berkata, peluang merakamkan lagu Jika di Indonesia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Pengalaman saya semasa merakamkan lagu Jika ini agak letih sedikit sebab pada hari itu kami ada empat persembahan di saluran televisyen Indonesia.
“Selepas itu, kami terus ke studio untuk merakamkan lagu.
“Rakaman selesai kira-kira pada pukul tiga pagi. Jadi perasaannya memang penat dan mencabar.
“Alhamdulillah berkat kesabaran semua, prosesnya berjalan dengan lancar,” katanya.
Pengarah Beegood Music, Amir Arshad berkata, pihaknya memilih lagu Jika kerana karya tersebut masih lagi mendapat tempat di hati pendengar dan kekal menjadi siulan walaupun telah berubah zaman.
“Lagu Jika memang ‘evergreen’ dan sedap didengari. Melly Goeslaw merupakan seorang penyanyi legenda di Indonesia dengan karya-karya hebat,” kata Amir.
Ujar Amir lagi, Melly sudah dimaklumkan tentang projek yang dijalankan itu dan memuji hasil rakaman versi baharu Jika.
“Melly sudah dimaklumkan lebih awal mengenai projek ini sebab kita nak mendapatkan ‘rights’ dan izin daripada pihak Melly. Dia juga sudah mendengar versi ini sebelum dilancarkan lagi.
“Alhamdulillah, Melly sangat suka dan memuji hasilnya. Malah dia juga sudi membantu untuk mempromosikan lagu ini dalam Instagram miliknya,” kata Amir.