fbpx

Sistem pencen Thailand paling teruk, Malaysia di tempat ke-23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Persaraan wajib di Malaysia yang ditetapkan pada usia 60 tahun secara relatifnya lebih rendah berbanding negara lain. - Gambar hiasan

BANGKOK – Senarai global negara yang mempunyai sistem pencen paling baik di dunia bagi tahun 2022 menyaksikan Thailand menduduki tempat ter­corot, lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Firma pengurusan aset Amerika Syarikat (AS), Mercer menyiarkan hasil kajil selidik berkenaan menerusi Indeks Pencen Global Institut CFA kali ke-14 pada 14 Oktober lalu.

Mercer melakukan kaji selidik tersebut yang melibatkan 66 peratus penduduk dunia dari 44 negara. Tinjauan itu menilai sistem pencen di setiap negara terbabit, merangkumi tiga aspek utama termasuk kecukupan, kelestarian dan integriti.

Iceland tersenarai sebagai negara yang mempunyai sistem pencen yang disifatkan paling baik di dunia, manakala Singapura pula menduduki tempat teratas dalam kalangan negara rantau Asia.

Nilai pencen asas di Iceland ialah ISK393,300 (RM12,938) setahun, bersamaan dengan 6.5 peratus daripada purata pendapatan penduduknya. 

Thailand yang menduduki tempat ke-44 senarai tersebut, mendapat gred D dengan hanya 41.7 markah daripada 100, iaitu di bawah purata 63.0 markah.

Mercer menambah, Thailand bergantung kepada tiga jenis sistem pencen termasuk Dana Keselamatan Sosial untuk setiap kerjaya dalam sektor swasta, Kumpulan Wang Simpanan dan Pengurusan Kewangan Peribadi seperti Dana Bersama Persaraan (RMF).

Antara negara lain yang mendapat gred D termasuk Turki, India, Argentina dan Filipina.

Bagi negara-negara Asia, Singapura mendapat 74.1 markah untuk mengungguli rantau ber­kenaan dan menduduki tempat kesembilan di dunia. 

Malaysia pula menduduki tempat ke-23 Indeks Pencen Global apabila memperoleh gred C+ dengan markah keseluruhan 63.1, masing-masing 57.2 (kecukupan), 60.2 (kelestarian) dan 76.9 (integriti).

Senarai 10 teratas dalam urutan indeks berkenaan ialah Iceland (84.7 markah), Belanda (84.6 markah), Demark (82.0 markah), Israel (79.8 markah), Finland (77.2 markah), Australia (76.8 markah), Norway (75.3 markah), Sweden (74.6 markah), Singapura (74.1 markah) dan Britain (73.7 markah).

Tinjauan sama juga mendapati sistem pencen telah berubah daripada sistem faedah tertakrif (DB) kepada sistem caruman tertakrif (DC) berikutan keadaan ekonomi. Orang ramai perlu me­rancang persaraan mereka dengan lebih teliti berbanding masa lalu.

Rakan kongsi Mercer, David Knox berkata, setiap orang perlu lebih bertanggungjawab terhadap persaraan mereka berban­ding sebelum ini kerana keadaan ekonomi yang tidak stabil, kenaikan kadar inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI