fbpx

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi masih berfungsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar ketika bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Kementerian K-KOM di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi belum dibubarkan dan masih berfungsi seperti biasa biarpun Parlimen sudah dibubarkan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan mesyuarat minggu hadapan iaitu kali pertama selepas Parlimen dibubarkan minggu lalu.

Beliau berkata, pasukan itu tidak sempat lagi mengadakan mesyuarat sejak Parlimen dibubarkan bertujuan memberi peluang kepada ahli Parlimen untuk pulang ke kawasan masing-masing.

“Kita belum adakan mesyuarat untuk minggu ini tapi mungkin kita perlu adakan mesyuarat pada minggu hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di sini, hari ini.

Katanya, pasukan itu tidak dibubarkan lagi memandangkan inflasi dan masalah berkaitan bekalan makanan masih wujud dan ia menjadi tugas kerajaan untuk memantau perkara itu.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, buat masa ini, pasukan itu masih perlu bersidang bagi menentukan kadar harga minyak masak yang biasanya diumumkan setiap 8 hari bulan.

Menurutnya, pasukan itu juga perlu memastikan keberadaan bekalan makanan utama seperti ayam, telur dan sebagainya di pasaran tempatan.

“Saya juga difahamkan, kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus memantau isu berkenaan setiap masa,” katanya.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi diwujudkan kerajaan pada 29 Jun lalu bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI