PETALING JAYA – Lebih seminggu tiada sebarang maklum balas, ibu pelakon Wafariena Roslan, Suzana Hamad memberi kata dua kepada sebuah syarikat produksi agar tampil bertanggungjawab atas kecederaan yang menimpa anaknya atau laporan polis dibuat sebagai jalan penyelesaian mengikut lunas undang-undang.
Suzana, 59, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, sehingga kini pihak produksi, termasuk pengarah drama yang mendatangkan kecederaan terhadap Wafariena belum memberi kenyataan termasuk permohonan maaf kepadanya atas kemalangan yang menimpa pelakon itu.
“Sehingga kini saya masih belum menerima sebarang kenyataan termasuk permohonan maaf daripada pihak produksi termasuk pengarah.
“Saya beri tempoh seminggu kepada pihak produksi untuk berbincang dan bertanggungjawab atas kecederaan yang dialami anak saya sewaktu menjalani penggambaran,” katanya kepada Kosmo! Online.
Suzana berkata, dia tidak akan berdiam diri lebih-lebih lagi apabila pengarah terbabit seolah-olah lepas tangan dan tidak ambil tahu langsung tentang keadaan yang menimpa anaknya.
“Saya tidak suka nak buat hal begini (laporan polis). Tapi saya terpaksa daripada berdiam diri. Sudahlah pengarahnya tidak ambil tahu sampai sekarang,” ujar Suzana.
Tambah Suzana lagi, dia memberi tempoh selama seminggu kepada produksi kerana masih mahu memberi peluang kepada pihak terbabit untuk berbincang selain kasihan dengan pihak lain yang bersikap baik terhadapnya.
“Saya sebenarnya enggan memperbesarkan isu ini. Namun saya terpaksa bersuara kerana benar-benar kecewa dengan sikap pengarah apabila bersikap lepas tangan.
“Bayangkan selepas lebih seminggu Wafariena menanggung sakit, sehingga kini pengarah tersebut masih belum membuat permohonan maaf. Saya sangat kecewa,” katanya.
Ketika disoal tentang perkembangan terkini pelakon berusia 26 tahun itu, ibunya memaklumkan Wafariena atau mesra disapa Wafa sudah pun dibenarkan pulang ke rumah sejak Khamis lalu selepas lima hari menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Rawang, Selangor.
Biarpun keadaanya semakin baik, namun sebagai ibu, Suzana tetap bimbang terhadap kecederaan dalaman yang dialami Wafariena.
“Alhamdulillah Wafa makin baik dan sudah boleh berjalan walaupun perlahan sebab perut masih sakit. Cuma saya bimbang dengan kecederaan dalaman yang dialaminya pada masa akan datang.
“Wafa perempuan. Nanti dia akan berkahwin suatu hari nanti. Nak ada anak.
“Tempoh pulih tidak dapat dipastikan oleh doktor berapa lama. Tapi, dia kini mendapat cuti sakit selama 20 hari. Malah, dalam tiga hari seminggu, Wafariena perlu ke hospital bagi menjalani rawatan fisioterapi,” katanya.
Terdahulu, Wafariena mengalami kecederaan dalaman apabila tisu punggung dan perutnya koyak selepas melakukan aksi lagak ngeri dalam sebuah penggambaran drama di Lenggong, perak pada 8 Oktober lalu.
Difahamkan, Wafa menjalani penggambaran untuk sebuah drama seram yang diarahkan oleh pengarah baharu, juga terbitan sebuah syarikat produksi baharu untuk tayangan sebuah stesen televisyen berbayar popular. – KOSMO! ONLINE