PETALING JAYA – Keadaan kesihatan kanak-kanak bekas pesakit kanser mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, dilaporkan semakin baik.
Malah kata ibunya, Nurul Erwani Zaidi menerusi Instagram miliknya memaklumkan anaknya kini semakin cergas dan ceria cuma ada ketikanya dia ‘badmood’.
Katanya lagi, berat badan Ainul Mardhiah juga semakin naik.
“Alhamdulilah Ainul Mardhiah semakin sihat, cergas dan ceria. Cuma kadang-kadang tu kalau ‘badmood’, mengamuk sampai baling barang.
“Berat pun makin naik,” tulisnya di Instgram semalam.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengikutnya di Instagram gembira dengan perkhabaran itu dan mendoakan agar kanak-kanak itu kembali sihat seperti sedia kala.
“Gembira tengok Ainul, moga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik ye Ainul,” kata lizaummidinie.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengikutnya dikenali sebagai ansshakir.
“Moga adik sentiasa dalam rahmat, lindungan dan kasih sayang Allah,” ujarnya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Ainul Mardhiah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana serangan sawan serta berada dalam keadaan kritkal di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).-KOSMO! ONLINE