KUALA LUMPUR – Seorang pemandu ambulans didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap keluarga dan syarikat Jakel pada Mei lalu.
Bagaimanapun Muhamad Syakir Mustaffa , 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Syakir didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap keluarga Jakel dengan menggunakan laman profil Facebook ‘Haqimie Qayyum’ antara pukul 10 pagi hingga 12 tenghari pada 3 Mei lalu.
Kenyataan tersebut kemudian telah dibaca di laman profil Facebook berkenaan, pukul 10 pagi pada 4 Mei lalu di Jakel Mall, Jalan Munshi Abdullah di sini.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syahieza Md. Hadzaid yang mencadangkang jumlah jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun OKS yang tidak diwakili peguam merayu jumlah ikan jamin itu dikurangkan dengan alasan tidak berkemampuan.
“Saya menanggung isteri yang tidak bekerja dan anak yang masih kecil dengan pendapatan RM1,500 sebulan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Edwin membenarkan OKS diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 23 November ditetapkan bagi sebutan semula kes. – K! ONLINE