fbpx

6 bot nelayan Vietnam dikesan ceroboh perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA TLDM memeriksa sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara kira-kira 30 batu nautika utara Pulau Tioman di Rompin semalam.

KUANTAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengesan enam buah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara kira-kira 30 batu nautika utara Pulau Tioman di Rompin semalam.

Menurut kenyataan TLDM kesemua enam bot nelayan Vietnam berkenaan bertindak melarikan diri ke arah utara setelah menyedari kehadiran aset TLDM.

“Bagaimanapun KD Pendekar yang sedang melaksanakan rondaan dalam Ops Kekal Warisan telah berjaya memintas dan menahan sebuah bot serta melaksanakan penggeledahan ke atas bot nelayan Vietnam tersebut.

“Terdapat 14 orang awak-awak warganegara Vietnam di atas bot tersebut dan kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan juga menemukan sebanyak lapan buah peti simpanan yang penuh dengan hasil laut yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Menurut kenyataan itu, bot nelayan Vietnam berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya

Dalam pada itu katanya, pihak Angkatan Tentera Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh Rakan Maritim dan kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan sama ada di laut mahupun di darat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI