fbpx

Barat bergolak, lebih baik bercuti di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Mungkin ada rakyat Malaysia mengidam melancong ke negara-negara Eropah termasuk Britain, sama ada dalam masa terdekat ataupun menjelang akhir tahun ini. Benua berkenaan kini mengalami musim luruh sekali gus musim paling panoramik dengan hamparan kuning dedaunan seluas mata memandang.

Bagi yang tidak pernah melihat salji, musim sejuk bakal menjelang dan membuka peluang kepada pelancong Malaysia untuk melihat dan bermain salji.

Suhu di Eropah pada masa ini antara sekitar 15 darjah Celsius hingga 0 darjah Celsius bergantung kepada rantaunya.

Bagaimanapun, tahun ini dikatakan ‘agak mencabar’ untuk berada di Eropah khususnya pada musim luruh dan sejuk.

Rakyat Eropah seperti di Jerman, Perancis, Austria dan Britain ketika ini ‘bermuram durja’ kerana situasi agak tidak menentu lantaran tempias perang Ukraine-Russia. Mereka berdepan kenaikan kos sara hidup khususnya lonjakan harga gas dan elektrik.

Harga elektrik dan gas melonjak melebihi 40 peratus berikutan bekalan gas dari Russia terputus selepas Kesatuan Eropah melaksanakan sekatan tenaga bagi menghukum Moscow kerana menceroboh Ukraine.

Banyak kawasan di Eropah melaksanakan catuan penggunaan gas untuk pemanasan. Malah, penduduk di pedalaman mula mengumpulkan kayu api sebagai kaedah pemanasan alternatif kerana musim sejuk adalah penentu hidup dan mati di negara-negara yang mempunyai empat musim.

Di Britain, lebih 2 juta penduduknya mencatu makanan, malah ada keluarga yang makan sekali sehari.

Mereka terpaksa memilih sama ada makanan atau pemanasan selepas harga elektrik melambung dengan setiap isi rumah dijangka perlu membayar kenaikan sehingga £1,000 (RM5,334) pada musim sejuk tahun ini.

Apatah lagi, Presiden Vladimir Putin mengancam akan menggunakan senjata nuklear taktikal dalam perang di Ukraine.

Jika ini benar-benar berlaku, berada di Eropah ketika angin radioaktif bertiup adalah sesuatu yang wajar dielakkan. Bagi mereka yang memilih bercuti ke negara K-Pop pula, melawat tempat-tempat menarik seperti Pulau Jeju, situasi sekarang juga mencabar.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, angin pemimpin negara jirannya, Kim Jong-un dikatakan kurang baik. Beliau sibuk mengadakan ujian peluru berpandu dan terbaharu, Jong-un menguji misil nuklear taktikal berkeupayaan nuklear yang dapat memusnahkan sasaran sejauh 2,000 kilometer di Korea Selatan dan Jepun.

Jong-un agak serius dengan ancamannya. Mungkin penduduk di Korea Selatan juga rasanya sedikit gusar dengan perkembangan tersebut.

Jika ingin melancong ke Thailand sekali pun, keadaannya kurang sesuai kerana tempat pelancongan seperti Phuket dilanda banjir besar juga rantau timur laut dan tengah negara itu.

Hemat penulis, mungkin lebih ‘afdal’ rakyat Malaysia melancong dalam negara buat sementara waktu seperti Cameron Highland, Cherating, Tioman atau Pulau Langkawi sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI