fbpx

Ramai penghasut timbul ketika PRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR HUDA MUSA, WARTAWAN EKSEKUTIF

Sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, sudah pasti pelbagai ragam politik dapat dilihat di sekeliling kita.

Bukan sahaja ragam daripada ahli-ahli politik, malah dalam kalangan rakyat sendiri dapat dilihat pelbagai pendapat dan hujah dilontarkan oleh mereka mengenai kancah politik di negara ketika ini.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan masih lagi ada individu tidak bertanggungjawab yang sesuka hati menggerakkan ‘kempen’ jangan pergi mengundi di media sosial terutama sekali dalam golongan muda yang sebenarnya tidak begitu memahami kepentingan melantik kerajaan secara demokrasi.

Sepatutnya, rakyat yang cintakan negara sewajarnya menolak kempen sedemikian yang mengabaikan peluang mereka untuk melantik kerajaan dalam PRU15 nanti.

Penganalisis Sosiopolitik Universiti Putra Malaysia, Dr. Syed Agil Alsagoff berkata, mengundi adalah tanggungjawab warganegara memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu katanya, mengundi adalah satu keperluan bagi warganegara memilih pemimpin dan menentukan halatuju pentadbiran dan masa depan negara.

“Bukan itu sahaja, mengundi juga melambangkan hak mutlak warganegara yang berkelayakan dan mencerminkan kebebasan demokrasi terpimpin yang harus disemai dan meneruskan keles­tarian budaya ini demi masa depan, peradaban dan maruah negara.

“Ini bukan sekadar melunaskan tanggungjawab semata-mata tetapi mencerminkan nilai amalan demokrasi negara. Itu sebabnya warganegara kita harus melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya.

Selain itu Syed Agil berkata, amalan menghasut orang supaya tidak mengundi adalah menyalahi peraturan dalam Akta Hasutan 1948 dan juga perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengekang perbuatan anarki yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman negara.

“Setiap pengundi berhak menentukan siapa bakal pemimpin yang akan mereka pilih dan pilihan mereka adalah rahsia dan tidak harus dipertikaikan.

“Sekiranya pengundi enggan melunaskan tanggungjawabnya, ia akan menjejaskan amalan demokrasi negara dan merugikan mereka kerana masa depan politik negara terletak pada pilihan rakyat memilih pemimpin yang berkeupayaan memimpin dan menentukan masa depan dan hala tuju negara dengan baik,” ujarnya.

Katanya, amalan tidak me­ngundi ini adalah bertentangan dengan amalan demokrasi yang dibangunkan oleh negara dan menghalang kemajuan negara.

Justeru itu, eloklah kita tunaikan tanggungjawab kita dengan penuh kesedaran sebagai seorang warganegara yang prihatin, sayangkan negara dan peganglah amanah menjaga maruah negara dan melestarikan amalan demokrasi di negara ini.

Janganlah terpedaya dengan hasutan dan kata-kata pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mahu menjejaskan amalan demokrasi di negara ini.

Setiap warganegara bebas memilih bakal pemimpin yang akan menerajui dan mencorakkan masa depan negara.

Pilihlah pemimpin yang berupaya memimpin rakyat dengan jujur, ikhlas dan berupaya memenuhi aspirasi rakyat dan negara demi memajukan masa depan negara yang tercinta ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI