fbpx

Sultan Nazrin dukacita konsep pelbagai budaya dijadikan senjata perang budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin menyampaikan ucapan di Majlis World Conference On Islamic And Civilization di Hotel Casuarina Meru, Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita dan sedikit gusar apabila konsep seperti pelbagai budaya, kepelbagaian dan toleransi dijadikan alat senjata dalam perang budaya wacana politik di peringkat antarabangsa hari ini.

Baginda bertitah, negara-negara yang dahulunya disanjung kerana mengamalkan nilai-nilai progresif dan inklusif, gelombang populisma telah menyebarkan kebencian, pergaduhan dan rasa tidak puas hati.

“Golongan minoriti etnik dan agama sering dipersalahkan dan diusir apabila negara melalui zaman sukar atau kepayahan. Kesimpulannya, rakyat di serata dunia semakin hari semakin enggan berkongsi nilai kemanusiaan mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2022 Pusat Konvesyen Casuarina Meru di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, perubahan sikap yang mendalam terhadap kepelbagaian budaya itu merupakan suatu tragedi kerana ia menyemai benih-benih perpecahan di dalam sesebuah negara yang berkemungkinan memuncak menjadi konflik lebih parah, sehingga membawa kepada pengusiran warga dan krisis pelarian.

“Pada masa yang sama ia sebuah tragedi kerana kitalah yang bakal kerugian apabila kita menolak dan menafikan kepelbagaian budaya. Tanpa kepelbagaian budaya, dunia kita menjadi semakin miskin.

“Dengan adanya pelbagai asal usul, pelbagai kepercayaan, dan kepelbagaian etnik, begitu banyak yang menguntungkan kita dan begitu banyak yang kita kenali antara satu dengan yang lain seperti yang dianjurkan al-Quran,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, terdapat beberapa kayu ukur yang dapat mengira bukan sahaja jumlah pelbagai kumpulan berbeza di dalam sesuatu masyarakat atau negara, malah tahap integrasi mereka.

Baginda bertitah, ahli sains sosial yang lain telah menggunakan ukuran pecahan etnik, linguistik dan agama di dalam sesebuah negara untuk menunjukkan bahawa perpecahan etnik merupakan kayu ukur yang penting dalam meramalkan prestasi ekonomi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI