SHAH ALAM – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin menegaskan beliau sangat terbuka untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berhubung dakwaan penyelewengan kontrak membabitkan dirinya.
Mohd. Radzi berkata tiada sebarang perkara dikhuatirkannya dengan telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) supaya SPRM menyiasat kesahihannya.
“I’m very open dan telus serta tiada apa untuk dikhuatirkan. Sejak saya masuk ke kementerian, mesej kita setiap sen duit rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat, sangat mudah.
“Saya berada di sini menjalankan khidmat negara. Saya tidak ada tujuan lain, ada tuduhan SPRM, pergilah siasat kementerian dan lihat apa yang ada di sana (KPM),” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif reading progress sekolah, hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Mohd. Radzi mahu siasatan segera dilakukan berhubung dakwaan kononnya berlaku penyelewengan kontrak membabitkan dirinya.
Ini selepas beliau menerima hantaran video dibuat Datuk Zaharin Yassin menyatakan terdapat aduan penyelewengan di Kementerian Pendidikan (KPM) mengaitkan dirinya dan Ketua Setiausaha kementerian tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd. Radzi menjelaskan membina kepercayaan masyarakat adalah penting dalam konteks KPM supaya dapat bekerjasama dalam melihat pendidikan lebih baik. -KOSMO!ONLINE