fbpx

Mahkamah: Agong zahir harapan PRU15 sebelum Monsun Timur Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan menyatakan bahawa, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menzahirkan harapan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan dalam tempoh terdekat sebelum Monsun Timur Laut.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak semalam, Ismail Sabri dan kerajaan masing-masing selaku defendan pertama dan kedua berkata, perubahan musim itu diramal bermula pertengahan November ini.

Beliau berkata, berdasarkan situasi itu menunjukkan sifat keperihatinan dan cakna YDPA dalam mengambil kira faktor kebajikan rakyat walaupun ia bukanlah suatu keperluan di bawah Perkara 55(2) dan 40 Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat sedemikian.

Menurut kedua-dua defendan kuasa YDPA untuk membubarkan Parlimen mengikut dua perkara itu adalah suatu perkara yang tidak boleh diadili dan tidak boleh dipertikaikan di hadapan mahkamah.

Menurut afidavit sokongan itu lagi, kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah suatu kuasa prerogatif Baginda, bawah dua perkara terbabit.

“Ia mengikut budi bicara membubarkan Parlimen tanpa perlu mendapatkan nasihat daripada Jemaah Menteri di bawah Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya percaya, permintaan itu dibuat tanpa nasihat Jemaah Menteri bersifat akademik kerana Baginda memperkenankan permintaan itu dan seterusnya membubarkan Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang merupakan defendan ketiga menerusi afidavit sokongan difailkan tetuan terbabit pada hari sama, berkata pihaknya perlu memastikan penjalanan PRU15 dapat berjalan dengan teratur dan lancar.

Ia selaras dengan Perkara 55(4) dan 113(1) Perlembagaan Persekutuan, Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan serta keseluruhan undang-undang berkaitan pilihan raya.

Pada 14 Oktober lalu, Kosmo! Online melaporkan, Ismail Sabri kerajaan dan SPR memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan penyandang Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen.

Pada 11 Oktober lalu, Charles menfailkan saman pemula dengan menamakan Ismail Sabri, Kerajaan Malaysia dan SPR masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Saman pemula itu adalah bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan dokumen, plaintif memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail Sabri kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 9 Oktober lepas untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am, jemaah menteri dan oleh itu ia terbatal serta tidak sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI