fbpx

PRU15: BN perlu tampil calon muda, untuk pikat pengundi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Aizat

PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan lebih ramai calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menarik minat dan keyakinan para pengundi muda yang pertama kali mengundi.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam, langkah itu penting kerana golongan pengundi muda yang berusia 18 hingga 21 tahun akan berasa lebih dekat dengan calon muda yang bakal menjadi suara dan wakil mereka pada masa hadapan.

Selain itu katanya, golongan pengundi muda sekarang juga lebih bijak, peka dan mengambil berat mengenai manifesto yang diperjuangkan oleh calon atau parti tertentu.

Tambah Nur Aizat, BN dan UMNO juga perlu menawarkan manifesto yang akan memberikan kelebihan dan keuntungan kepada orang muda dalam menarik minat mereka mempercayai parti itu.

“Kita sedar manifesto merupakan satu janji dan pengundi muda pada hari ini sentiasa akan memikirkan tentang masa depan mereka untuk empat atau lima tahun akan datang.

“Mereka mahu tahu selepas PRU15 apakah jaminan masa depan dan kestabilan bagi meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan dengan gaji yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Aizat berkata, langkah BN mengemukakan calon muda dan tawaran baharu dilihat faktor penting bagi memastikan pengundi muda akan memilih komponen itu pada PRU15.

Ujar beliau, golongan muda kini perlu diakui semakin bijak membuat penilaian terhadap apa juga isu yang timbul kerana informasi berada di hujung jari mereka.

Terdahulu, tahun lalu, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan usia layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik memberikan golongan umur itu hak mengundi pada PRU15.

Berdasarkan data terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu melibatkan jumlah 21,113,234 orang.

Bagi penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, ia menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana 1.2 juta adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 21 tahun.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI