fbpx

Bukan baru, Marcell peluk Islam sejak 2012

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERNAH beberapa kali bertukar agama, Marcell sebenarnya sudah memeluk Islam sejak 2012.

KUALA LUMPUR – “Sampai orang beranggapan bahawa saya muallaf dua tahun lalu, padahal saya sudah masuk Islam sejak 2012.”

Itu pengakuan dari bibir penyanyi Indonesia, Marcell atau nama sebenarnya, Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan bercerita tentang pegangan spritual atau agamanya.

Kata Marcell, 45, perihal berkaitan kepercayaan agama atau spiritual sememangnya bukan mudah buat dirinya berkongsi secara terbuka kepada orang lain.

“Kerana sejak dahulu, pencapaian spiritual itu bukan sesuatu yang bukan saya boleh kongsi dengan kebanyakan orang.

“Apatah lagi, saya jenis orangnya banyak belajar latar agama dan kepercayaan. Saya memperlajari kebaikan-kebaikan daripada setiap kepercayaan.

“Jadi, untuk berkongsi perkara seperti ini tidak gampang (mudah). Tidak semua orang boleh terima,” katanya pelantun lagu Semusim itu kepada Kosmo! Online usai sidang media konsert Marcell Dua Dekade Live in Kuala Lumpur di ibu negara, semalam.

Jelas bapa kepada tiga orang cahaya mata itu lagi, pendapat dan jangkaan orang adalah berbeza-beza apabila bertutur soal agama atau kepercayaan.

“Banyak antara mereka apabila berbicara tentang hal spiritual, mereka bertanya tetapi mempunyai ekspektasi (jangkaan) dalam diri sendiri.

“Jawapannya (yang saya berikan) harus seperti itu dan ini. Jadi, kalau jawapan saya berbeza dengan apa yang ada di kepala (mereka), mereka marah dan menolak.

“Padahal, yang seharusnya dipersalahkan adalah mereka. Kenapa mereka tanya (tentang hal spiritual atau kepercayaan agama).

“Saya pasti jawapannya lain kerana buat saya, pemahaman saya tentang hal tersebut pasti lain. Orang ucap tahniah saya masuk Islam ternyata saya dah peluk Islam sejak 2012. Puasa pertama saya 2012,” ujarnya tenang seraya memaklumkan sangat menjaga privasi apabila berkaitan isu agama.

Sebelum ini kisah Marcell yang juga suami kepada aktres dan model jelita, Rima Melati Adams yang beberapa kali berpindah kepercayaan, khususnya agama kerap menjadi tumpuan media.

Sementara itu, kata Marcell, dia tidak pernah mengeksploitasikan agama untuk menjana wang.

“Saya masih istiqamah dan mungkin bahasa yang paling kasar adalah, saya tak cari wang dari isu berkait agama.

“Saya tak cari wang dari situ. Jadi, buat saya Marcell ialah Marcell; seorang penyanyi dan lebih baik berada di posisi itu,” ujarnya.

Ditanya tentang Islam yang akhirnya membuka jalan dirinya bertemu ketenangan hidup, jawab Marcell penuh maksud mendalam: “Kita harus buka membuka itu (tenang) untuk datang. Kalau kita sudah menutup diri dalam erti dengan kesombongan dan ketikdakikhlasan, ketenangan tidak akan datang.

“Percayalah. Jangan sampai kita anggap bahawa kedamaian jiwa, kebahagiaan bahkan kasih sayang sesuatu yang patut dikejar. Ia ada di mana-mana. Hanya tinggal kita buka ‘jendela-jendelanya’, ia akan datang dengan sendiri.

“Kalau jendala yang saya maksudkan itu dibuka, bermakna kita sudah ikhlas melepaskan. Kita perlu nikmati ibadah kita. Dalam solat, tahajud atau apapun atau puasa, nikmati momennya.

MARCELL sewaktu sidang media Konsert Marcell Dua Dekade Live in Kuala Lumpur anjuran The Jay Events & Media bakal berlangsung pada 9 Disember depan.

“Puasa itu tidak bermakna menahan lapar. Solat itu bukan hanya satu rutin yang dilakukan depan sejadah. Atau fikir surah al-Fatihah itu hanya sekadar surah pembuka al-Quran.”

Dalam perkembangan terbaharunya, Marcell bakal muncul menerusi Konsert Marcell Dua Dekade Live in Kuala Lumpur anjuran The Jay Events & Media bakal berlangsung pada 9 Disember 2022 bertempat di Zepp KL.

Tiket-tiket konsert yang berharga RM288 hingga RM7,888 kini mula dijual menerusi www.myticketasia.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI