fbpx

UMNO Johor lapor polis selepas difitnah Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemuda UMNO Bahagian Muar membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq dan beberapa kepimpinan parti itu di IPD Muar.

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Bahagian Muar membuat satu laporan polis terhadap Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa kepimpinan parti itu yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap Pemuda UMNO.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd. Helmy Abd. Latif berkata, tindakan itu diambil selepas mereka mendakwa bahawa Pemuda UMNO telah membuat provokasi dan kekacauan ketika Ceramah Mega Muar MUDA sedang berlangsung semalam.

Katanya, tuduhan ini dikemukakan dalam bentuk ucapan dan beberapa paparan di dalam laman Twitter yang menuduh Pemuda UMNO sebagai kumpulan yang mencetuskan kekecohan semasa Syed Saddiq sedang berucap di perkarangan Pejabat Parti MUDA Muar.

“Selaku Ketua Pemuda UMNO Muar, saya menegaskan bahawa Pemuda UMNO Muar khasnya dan Pemuda UMNO secara keseluruhan menolak politik secara provokasi sebegini dan ia adalah budaya yang tidak diamalkan oleh Pemuda UMNO.

“Justeru, melihat kepada tindakan pimpinan MUDA yang amat mudah melemparkan fitnah ini, saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd. Helmy bersama Pemuda UMNO Bahagian Muar hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat laporan berhubung perkara itu.

Malam tadi, Ceramah Mega Muar parti MUDA didakwa dicemari dengan insiden gangguan dan provokasi sekumpulan ‘mat rempit’ ketika Syed Saddiq berucap.

Bagaimana pun, tidak ada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis yang berada di lokasi ceramah diadakan.

Ceramah Mega Muar itu diteruskan dengan Syed Saddiq memberi ucapan setelah keadaan kembali tenang.

“Tak apa biarkan, ini taktik UMNO, BN (Barisan Nasional). Mereka tak boleh lawan dengan hujah, ini cara mereka.

“Kepada anak muda di luar sana, jangan jadi ‘pencacai’ sampai bila kita nak dibeli, ini negara kita,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Muar itu.

Mohd. Helmy menambah, keseluruhan jentera Pemuda UMNO Bahagian Muar terlibat secara langsung dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO dan juga Pelancaran Jentera Pilihan Raya, semalam.

“Secara logiknya mustahil bagi kami untuk meluangkan masa melakukan sesuatu yang tidak langsung mendatangkan faedah kepada parti.

“Saya juga telah berbincang dengan peguam saya untuk membuat tindakan saman terhadap mereka yang telah menuduh Pemuda UMNO di dalam kes ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI