MADRID – Juara bertahan, Real Madrid membuktikan kualiti sebagai pilihan utama untuk menjuarai La Liga musim ini menerusi kemenangan 3-1 ke atas Barcelona di Santiago Bernabeu malam kelmarin.
Kemenangan ke atas seteru tradisi pada aksi El Clasico itu turut membolehkan Real kembali merampas takhta pendahulu La Liga dengan kelebihan tiga mata selepas sembilan perlawanan.
Ketua jurulatih Real, Carlo Ancelotti memuji kecemerlangan jentera serangan terutama Karim Benzema yang membuka tirai jaringan pada minit ke-12.
Dua lagi gol Los Blancos dalam aksi itu diperoleh menerusi Federico Valverde dan Rodrygo Goes masing-masing pada minit ke-35 serta 91.
“Kami sedar akan berdepan kesukaran dalam perlawanan ini jika kami tidak dapat menggerakkan bola dengan baik ke kawasan lawan.
“Tugas kami menjadi mudah apabila pemain memberikan usaha yang lebih dan melakukan pertahanan dengan baik sepanjang perlawanan ini.
“Saya akui jentera serangan cukup meyakinkan kerana dapat menjaringkan tiga gol ke atas Barcelona. Secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi pasukan dalam aksi yang bagus ini,” katanya.
Barcelona yang berbelanja besar untuk kembali mencabar Real musim ini, hanya mampu meledak satu gol menerusi Ferran Torres pada minit ke-83.
Kemenangan Real itu secara tidak langsung meleburkan rekod bersih Barcelona yang sebelum ini belum tewas daripada lapan perlawanan La Liga. – AGENSI