HARIMAU Malaya bakal beraksi di gelanggang Piala Dunia selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat keputusan memilih Qatar sebagai tuan rumah baharu Piala Asia tahun depan.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC yang menyaksikan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) berjaya menewaskan bidaan daripada Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA).
Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut mengucapkan tahniah kepada QFA dan pemilihan Qatar dibuat selepas mengambil kira kelangsungan negara itu yang bakal menganjurkan Piala Dunia, bulan depan.
“Bagi pihak AFC dan keluarga bola sepak Asia, saya ucapkan tahniah kepada QFA dan kami juga harus berterima kasih kepada PSSI dan KFA kerana menyatakan hasrat mereka untuk menganjurkan Piala Asia.
“Keupayaan dan rekod Qatar dalam menganjurkan acara sukan antarabangsa sangat dikagumi di seluruh dunia. Saya perlu memuji AFC kerana menunjukkan tahap profesionalisme dalam melakukan proses pemilihan secara adil dan telus.
“Memandangkan tempoh persiapan singkat, kami tahu semua kerja keras sudah pun dimulakan tetapi dengan infrastruktur bertaraf dunia, kami yakin Qatar akan menjanjikan tontonan berbaloi untuk pertandingan Asia,” menurut kenyataan AFC.
Untuk rekod, Piala Asia 2023 sepatutnya dilangsungkan di China, namun terpaksa menarik diri kerana dihimpit masalah penularan Covid-19
Sebelum ini, Harimau Malaya menamatkan kemarau 43 tahun untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit selaku lima naib juara terbaik.
Kali terakhir Malaysia beraksi di pertandingan ini adalah pada 2007 ketika muncul sebagai tuan rumah bersama dengan tiga lagi negara Asia Tenggara, Thailand, Indonesia dan Vietnam.w