KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim menyahut cabaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menjelang saingan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru minggu depan.
Edisi ke-10 kejohanan yang akan berlangsung dari 22 hingga 29 Oktober itu menjadi ujian terbaik buat Amin dan barisan kejurulatihannya untuk menguji barisan 18 pemain terpilih.
Bagi Amin, ia satu petanda yang bagus apabila melihat peningkatan prestasi setiap hari ditunjukkan anak-anak buahnya walaupun cuma sempat dua minggu mengadakan latihan bersama mereka.
“Kita sedia maklum pemain masih raw sangat (kerana) mereka lebih banyak dalam local scene. Namun, ia bukan alasan dan saya akan cuba lakukan sebaik mungkin.
“Jangkaan tinggi tetapi saya ambil cabaran ini. Saya akan berkongsi segala pengalaman dengan pemain kerana saya juga pernah menggalas tugas sebagai ketua jurulatih hoki dalam dewan,” katanya.
Esok, Amin berpeluang melihat para pemainnya mempersembahkan sesuatu yang positif apabila menentang Australia dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Empat pemain yang pernah beraksi pada Piala Dunia Hoki Remaja 2021 iaitu Muhammad Amirul Haniff Mamat, Alfarico Lance Liau Jr., Muhammad Syawal Abd. Razak dan Muhammad Faris Harizan bakal menjadi sandaran utama pasukan.
Selepas itu, skuad negara akan menghadapi satu lagi aksi pemanas badan dengan Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya pada Rabu sebelum membuka tirai SOJC menentang India tiga hari kemudian.
Malaysia yang pernah menjuarai edisi pertama SOJC pada 2011, kemudiannya akan berdepan Australia (23 Oktober), Afrika Selatan (25 Oktober), Great Britain (26 Oktober) dan Jepun pada 28 Oktober.
Sebagai rekod, SOJC merupakan platform terbaik buat para pemain sebelum Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur pertengahan tahun depan. – KOSMO! ONLINE