fbpx

Belanjawan Selangor 2023 dibentang selepas PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ( enam kanan barisan kedua) bersama pasukan Serve hari ini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan membentangkan Belanjawan Selangor 2023 sebaik sahaja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut dibuat setelah mengambil kira ramai kakitangan kerajaan negeri yang akan terlibat dalam kerja-kerja menguruskan proses pengundian.

“Ada pegawai kita yang terlibat sebagai pegawai pengurus dan timbalan pengurus pilihan raya serta anggota di pusat pengundian.

“Jadi saya mahu pegawai yang terlibat fokus dahulu dengan tugas mereka ketika PRU15 dan selepas itu baru kita fokus pembentangan Belanjawan Selangor 2023,” katanya selepas menghadiri majlis penutupan latihan dan kursus Serve Rescue di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, di sini, hari ini.

Jelas Amirudin, belanjawan negeri dijangka dibentangkan pada 25 November dan akan meminta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim memohon penangguhan itu secara bertulis kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Justeru, beliau berharap tiada mana-mana pihak akan mempolitikkan perihal penangguhan itu memandangkan PRU15 diadakan dalam tempoh yang dekat pada tarikh kebiasaan pembentangan Belanjawan Selangor.

Dalam perkembangan berlainan, Amirudin berkata, pasukan sukarelawan Serve Rescue kini bersedia membantu pasukan penyelamat bagi melakukan kerja-kerja menyelamat dalam banjir sekiranya diperlukan.

“Apa yang penting ketika ini adalah memberikan latihan asas kepada anggota Serve supaya dapat menjalankan tugas dengan selamat ketika operasi menyelamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI