LANGKAWI – Seorang lelaki warga Korea berusia 52 tahun mengalami kecederaan pada leher dan tulang belakang akibat terjatuh ketika mendaki puncak Air Terjun Telaga Tujuh, di sini hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Hyun Seung dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini untuk rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12.59 tengah hari tadi.
“Mangsa terjatuh di puncak Air Terjun Telaga Tujuh di Gunung Mat Chinchang dan mengalami kecederaan di bahagian leher dan tulang belakang.
“Pihak bomba mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak yang dianggarkan setinggi 90 meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah memberi rawatan awal kepada mangsa sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Mangsa telah diusung ke bawah di tempat selamat pada pukul 2.54 petang dan dibawa ke HSM dengan ambulans,” katanya. – KOSMO! ONLINE