KUALA LUMPUR- Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya menghembus nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh, Selangor pukul 1 petang tadi.
Perkara itu disahkan Unit Komunikasi Korporat Jakim ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
“Dukacita dimaklumkan almarhum meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.
“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengkebumian pada petang ini,” katanya.
Terdahulu, beliau dilaporkan telah menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada 6 Oktober lalu di hospital yang sama dan keputusan didapati negatif.
Mengikut laman web Jakim, beliau mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah pada 13 Januari lalu bagi menggantikan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang bersara wajib pada 27 Disember 2019. – K! ONLINE