fbpx

Gagah bekerja walaupun ada kanser darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasmi (dua dari kiri) dan Norhani (dua dari kanan) bersama anak-anak mereka ketika ditemui di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

KLANG – Nasib sepasang suami isteri umpama ‘sudah jatuh di­timpa tangga’ apabila diuji dengan penyakit kanser.

Namun Jasmi Khamis, 43, tidak mempunyai pilihan melainkan terus berjuang mencari rezeki untuk menyara isteri, Norhani Abdullah, 46, dan empat anak.

“Isteri saya disahkan hidap kanser ovari tahap empat pada tahun 2019. Saya pula awal tahun ini didiagnosis hidap kanser darah.

“Saya sering letih melampau sampai berat saya susut 10 kilogram. Lepas buat pemeriksaan didapati sel darah putih terlampau tinggi dan saya terus ditahan di Hospital Klang,” katanya.

Berpendapatan sekitar RM1,600 sebulan sebagai pengisi minyak di sebuah syarikat pe­ngangkutan di Pelabuhan Klang, Jasmi turut berdepan cabaran membesarkan anak ketiga, Nur Izzati, 8, yang merupakan orang kelainan upaya sindrom down sejak lahir.

“Syukur ada juga bantuan kewangan yang dia dapat. Anak bongsu ni ada masa boleh uruskan diri tapi kebanyakan masa perlu dipakaikan lampin terutamanya di sekolah.

“Anak semua bersekolah kena pandai berjimat sebab saya tak suka meminta-minta. Walaupun ada masa duit dah habis sebelum gaji seterusnya, saya cuba pastikan anak isteri cukup makan,” katanya.

Jasmi yang turut mendapat bantuan Lembaga Zakat Sela­ngor berkata, kini terpaksa be­kerja syif malam sahaja kerana perlu menjaga isteri dan anak-anaknya di siang hari.

“Saya memang kerja syif malam sebab siang kena jaga isteri jika perlu pergi ke hospital untuk rawatan dan uruskan anak-anak sekolah.

“Siang memang saya peruntukkan untuk jaga keluarga sebab isteri cepat letih lebih-lebih lagi lepas rawatan kemoterapi memang langsung tak boleh ba­ngun,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Jasmi di talian 011-2114 1948 atau menerusi akaun Bank Islam bernombor 12010024904422.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI